200 Lagi Ahli Umno Menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)

200 Lagi Ahli Umno Menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik Datuk Zainol Fadzi Paharuddin serta empat pemimpin lain adalah antara 200 anggota Umno yang mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini.

Empat pemimpin tersebut ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Datuk Kamarul Rashdan Salleh, Timbalan Ketua Umno Bahagian Bagan Serai, Datuk Abd Muhaimin Ahmad Nadzri, Timbalan Ketua Umno Bahagian Teluk Intan Nadziruddin Mohd Bandi serta Ketua Penerangan Umno Bahagian Tapah Pazli Abdullah Sani.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Zainol Fadzi menang kerusi DUN Sungai Manik dengan mendapat 9,265 undi mengalahkan calon PKR Mohamed Maharani Md Tasi yang mendapat 7,326 undi, calon PAS Mohamed Yusoff Abdullah yang mendapat 4,071 undi dan Dr Mustapa Kamal Maulut dari Berjasa yang mendapat 169 undi.

Mereka menyerahkan borang keanggotaan BERSATU kepada Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dalam satu majlis di Ipoh.

Zainol Fadzi yang juga bekas exco kerajaan negeri terdahulu berkata mereka membuat keputusan itu secara sukarela dan tanpa paksaan, imbuhan atau sebarang janji daripada mana-mana pihak.

“Keputusan ini juga saya ambil setelah mengambil kira pendapat majoriti daripada rakyat termasuk pengundi dan penyokong dikawasan saya semalam .

“Keputusan ini juga dibuat setelah mengambil kira suasana politik semasa negara dan kepentingan rakyat di kawasan saya,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang itu.

Zainol Fadzi berkata mereka bersedia untuk membantu serta berkhidmat kepada rakyat dan kerajaan Pakatan Harapan untuk mencapai visi dan misi bagi masa hadapan rakyat.

“Saya berharap dengan pengumuman ini saya dapat menjelaskan kedudukan saya dan rakan-rakan seperjuangan kepada seluruh rakyat negeri Perak khususnya rakyat di kawasan DUN Sungai Manik,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata penghijrahan di kalangan pemimpin serta anggota Umno kepada BERSATU bukan untuk mengejar jawatan atau mendapatkan sebarang imbuhan

“Mereka isi borang penyertaan (BERSATU) atas kesedaran mereka tentang keadaan politik ketika ini, serta mahu orang Melayu bersatu selain memperkuatkan kerajaan sedia ada,” katanya- Bernama

Comments