Setelah Sekian Lama Berdiam Diri Akhirnya Bekas Pengawal Peribadi Tun Dr Mahathir Dedah Rahsia Buat Ramai Terkejut
Posted on: May 12, 2018
KUALA NERANG: Pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh mengembalikan semula kenangan bekas pengawal peribadi beliau semasa bertugas.
Saad Hashim, 77 tahun, berkata, dia sungguh terharu apabila Mahathir sekali lagi dilantik sebagai perdana menteri.
Menurut Saad atau lebih dikenali Pak Ad berkata, dia pernah berkhidmat selama 30 tahun ketika Mahathir menjadi Ahli Parlimen Kubang Pasu.
“Saya sangat gembira apabila Tun dilantik sekali lagi dan terasa ingin bertugas kembali tetapi kudrat saya hari ini sudah tidak mampu lagi untuk bekerja. Ini berbeza dengan Tun walaupun sudah berusia 93 tahun tetapi masih mampu tunggang kuda dan kayuh basikal.
“Sejak dahulu lagi Tun sangat menjaga kesihatannya dengan hanya makan ala kadar untuk mengalas perut sahaja. Apa yang uniknya Tun tidak makan ikan kerana dididik oleh ibunya sejak kecil lagi,” kata bekas Setiausaha Kerja Umno Bahagian Kubang Pasu.
Menurut Pak Ad, sepanjang berkhidmat, Mahathir disifatkan sebagai seorang yang sangat menepati masa.
Bagi Mahathir masa adalah seperti emas dan sangat berharga. Setiap kali jika ada sebarang program semua kakitangan yang bertugas akan datang lebih awal lagi.
“Tun seorang yang tegas dan berani. Jika beliau hendak sesuatu pasti akan pergi tidak kira sama ada bahaya atau tidak. Contohnya semasa pembinaan Universiti Utara Malaysia (UUM) dia mengajak saya bersamanya walaupun kawasan itu bahaya sebelum ini.
“Tun sendiri mahu melihat sejauh mana pembinaan UUM pada masa itu. Ini menunjukkan dia sangat mengambil berat tentang pembangunan serta pendidikan kepada masyarakat terutamanya pelajar yang mahu melanjutkan pengajian ke situ nanti,” katanya.
Menurut Pak Ad, tabiat yang masih kekal pada Mahathir sehingga hari ini ialah sering membawa buku catatan dan pen untuk dicatat segala masalah rakyat atau sesuatu yang baharu baginya.
Buku catatan dan pen seperti nyawa beliau kerana Mahathir tidak akan pergi ke mana-mana tanpa dua benda itu walaupun pergi ke luar negara.
“Oleh itu tidak hairanlah jika Tun keluar negara pun dia akan mencatat segala apa yang dia lihat dan dengar supaya dapat memberi panduan kepadanya.
"Sebab itu banyak pembaharuan dibawa masuk semasa di bawah kepimpinannya dengan pelbagai dasar supaya memajukan negara kita ini,” katanya.