Koordinator Deklarasi Rakyat Datuk Khairuddin Abu Hassan Mohon Kepimpinan Tertinggi Pakatan Harapan Ambil Tindakan Disiplin Terhadap Rafizi Ramli
Posted on: May 13, 2018
Kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) digesa mengenakan tindakan disiplin ke atas sesiapa saja pimpinan parti yang tidak mengunakan saluran dalaman melahirkan ketidakpuasan hati mereka terhadap keputusan pimpinan utama parti.
Koordinator Deklarasi Rakyat Datuk Khairuddin Abu Hassan berkata beliau curiga dan kecewa dengan tindakan tidak bijaksana yang dilakukan oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang tidak berpuashati terhadap pelantikan 3 menteri kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu.
“Rafizi kena berhenti bersikap buruk. Beliau berhak bercakap mengenai apa saja tetapi jangan sampai boleh membinasakan keyakinan rakyat pada Pakatan Harapan itu sendiri.
“Pakatan Harapan baru menang PRU14 dan tolonglah jangan lakukan sesuatu tindakan yang boleh merugikan kita semua.
“Sepatutnya kita kena bijak bersuara melalui saluran yang betul demi menjaga imej perpaduan Pakatan Harapan.
“Jangan hendak ikut selera sendiri yang boleh merugikan Pakatan Harapan,” ujarnya.
Semalam, Rafizi mendakwa pengumuman tiga menteri kanan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dibuat tanpa perbincangan dengan partinya.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilantik sebagai Menteri Kewangan; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Menteri Dalam Negeri) dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan).
Bekas calon kerusi Parlimen Jasin yang tewas ini berkata, Rafizi boleh meluahkan apa sahaja pandangannya secara tertutup memandangkan Pakatan Harapan mempunyai platform dan saluran dalaman parti yang sedia mendengar.
Justeru, beliau meminta Rafizi berhenti daripada bersikap buruk demikian.
“Saya hendak tanya Rafizi, apa untungnya beliau suka bercakap mengenai dasar, keputusan serta pendirian Pakatan Harapan melalui saluran media?
“Bagi saya, beliau harus berhenti bersikap buruk seperti ini. Beliau berhak bercakap mengenai apa saja tetapi jangan sampai boleh membinasakan keyakinan rakyat pada Pakatan Harapan itu sendiri,” katanya.