Najib, Rosmah, Peguam Negara, Ketua SPRM Dan Pengerusi SPR Antara Yang Akan Turut Disiasat Atas Salah Laku?
Posted on: May 11, 2018
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan kepimpinan atasan SPRM menyaksikan perubahaan jika didapati bahawa badan pencegah rasuah itu berlaku tidak adil.
"Kita akan kaji sama ada SPRM adil atau tidak. Jika kita dapati bahawa mereka berat sebelah selama ini dalam apa jua cara, termasuk terhadap diri kita sendiri, kita perlu menukar mereka.
"Seperti yang dijanjikan, semua ketua (agensi) utama yang baru akan disaring oleh parlimen," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini, Mahathir mendakwa SPRM gagal bertindak terhadap amalan rasuah.
Sebagai contohnya, katanya, ini berlaku semasa pilihan raya umum ke-14.
"Sepanjang pilihan raya, SPRM seolah-olah mengabaikan hakikat bahawa rasuah berlaku.
"Dalam dua hari terakhir, sebagai contoh, tidak ada ucapan yang dibuat, hanya wang yang diedarkan.
"Kami akan menyiasat semua perkara ini kerana kami mahu mematuhi undang-undang dan bukannya membalas dendam," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur.
Mahathir juga ditanya sama ada kerajaan juga akan meneliti semula kedudukan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.
"Jika kita dapati dia terlibat dalam amalan rasuah, berat sebelah dan semua itu, kita terpaksa bertindak ke atasnya," kata Mahathir.
Saya tak buat salah, kata peguam negara
Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali berkata beliau tidak melakukan sebarang kesalahan walaupun perdana menteri menuduhnya menyembunyikan bukti skandal 1MDB.
“Saya tidak buat apa-apa salah. Bagaimanapun, buat masa ini saya tunggu dan lihat dulu.
“Apa yang paling penting, kedaulatan undang-undang akan ditegakkan dan apa pun tindakan oleh seseorang harus berdasarkan undang-undang, terutamanya undang-undang tertinggi, iaitu Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada Malaysiakini.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi bayangan akan menggugurkan Apandi dari kedudukannya setelah mendakwa peguam negara itu menyembunyikan bukti-bukti salah laku dalam kes 1MDB.
Pada Januari 2016, Apandi membersihkan perdana menteri keenam Datuk Seri Najib Razak dari sebarang salah laku berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.
Siasatan antarabangsa mendakwa wang itu sebenarnya berpunca dari 1MDB. Najib mendakwa ia “derma” dari keluarga diraja Arab Saudi dan menafikan sebarang salah laku.