Skip to main content

Bos SPR Nafikan Dakwaan Manipulasi Proses Pilihan Raya

Bos SPR Nafikan Dakwaan Manipulasi Proses Pilihan Raya
Bos SPR Nafikan Dakwaan Manipulasi Proses Pilihan Raya
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi menafikan dakwaan memanipulasi pilihan raya umum (PRU) ke-14 bagi memberi kelebihan kepada parti tertentu.

SPR menegaskan bahawa proses pengundian dikendalikan pegawai yang dilantik dari kalangan orang awam dan disaksikan oleh agen yang mewakili parti dan calon masing-masing.

"SPR tidak pernah masuk campur termasuk ketika pengiraan undi. Keputusan penuh PRU ke-14 berpihak kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) dan peralihan kuasa yang lancar dan teratur membuktikan pilihan raya dijalankan dengan telus dan adil.

"SPR sedia memberi kerjasama penuh bagi membuktikan tiada manipulasi atau penyalahgunaan kuasa terjadi ketika PRU ke-14," kata Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dalam kenyataan bertarikh 14 Mei.

BERSIH sebelum ini membentangkan dapatan dari program pemantauan pilihan raya dan mendakwa SPR "bersungguh-sungguh" memastikan kemenangan BN.

Ini termasuklah dakwaan memanipulasi sempadan pilihan raya, bersubahat dengan pengundi hantu, menghalang pendaftaran undi, dan memperkenalkan peraturan kempen baru yang memberi kelebihan kepada BN.

BERSIH menggesa kesemua tujuh pesuruhjaya SPR meletakkan jawatan atau digugurkan daripada bertugas dalam tempoh 100 hari bagi memberi laluan kepada pembaharuan sistem pilihan raya.

BERSIH turut mendakwa menerima lebih 1,000 aduan ketika pilihan raya termasuk 278 aduan pada hari mengundi.

Badan pendesak pembaharuan sistem pilihan raya itu akan mengeluarkan laporan penuh berhubung aduan yang diterima dalam tempoh beberapa minggu lagi.
-->